KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhasrat membentangkan Rang Undang-Undang berkaitan kawalan produk merokok termasuk rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas yang dijangkakan pada bulan Mei 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok.

"Ini termasuk di sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan," katanya.

Tambah beliau, semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023, Kerajaan telah mengumumkan cadangan untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan peranti pengewapan elektronik.

"Langkah ini membolehkan Kerajaan mencukai industri vape yang dianggarkan bernilai lebih RM2 bilion dan pada masa yang sama menyokong usaha untuk tidak menggalakkan penggunaan vape.

"Susulan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil tindakan mengecualikan nikotin bagi tujuan cecair atau gel dalam rokok elektronik dan peranti pengewapan elektronik daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 melalui pewartaan Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023," katanya  ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat Dato Dr Ahmad Yunus Hairi.

Dalam pada itu, lanjutan pengecualian ini, sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik kini adalah satu barangan berduti eksais wajib didaftarkan di bawah Akta Eksais 1976 [Akta 176].

Sementara itu, Kerajaan akan terus memastikan semua barangan tersebut dipertingkatkan kawalannya di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).